Kemuka akuan berkanun
10/09/2004 Harian Metro
BAGI mengatasi projek perumahan terbengkalai, setiap pemaju yang memohon
lesen membina rumah akan diminta mengemukakan Akuan Berkanun (Statutory
Declaration) bagi mengesahkan mereka bukan proksi kepada pemaju yang
disenaraihitamkan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata
pihaknya sedang mengkaji perkara itu sebagai satu langkah bagi mengatasi
projek perumahan terbengkalai di seluruh negara.
Menurutnya, sehingga kini, 42 pemaju sudah disenaraihitamkan kerana
melakukan pelbagai kesalahan termasuk mengingkari perintah Tribunal Tuntutan
Pembeli Rumah (TTPR) dan menyebabkan projek perumahan yang dimajukan
terbengkalai.
Beliau berkata, sehingga awal bulan ini, TTPR menyelesaikan 5,608 kes
tuntutan dan daripada jumlah itu, hanya 212 kes masih belum menjelaskan
bayaran seperti diputuskan TTPR.
"Ketika ini penasihat undang-undang kementerian sedang menyediakan kertas
dakwaan terhadap 46 daripada 212 kes yang mengingkari perintah TTPR manakala
bakinya akan diberi notis untuk menjelaskan bayaran dan jika masih gagal
berbuat demikian, pendakwaan akan dilakukan.
"Mengikut Akta Pemaju Perumahan (Pindaan 2002), mereka yang mengingkari
perintah TTPR dan disabitkan kesalahan, adalah melakukan kesalahan jenayah.
"Kita tegas dalam perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana
pihak. Pemaju terbabit akan disenaraihitamkan selagi mereka tidak dapat
membuktikan mereka mempunyai rekod bersih dan tidak akan menghampakan
pembeli," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, semalam.
Isu membabitkan pemaju perumahan yang disenaraihitamkan dibangkitkan Datuk
Badruddin Aminuddin (BN-Jerai) dalam soalan tambahannya pada sesi soal jawab.
Sejak 1990 hingga Julai lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
meluluskan 10,553 lesen projek perumahan di seluruh negara.
Dalam tempoh sama, sebanyak 122 projek perumahan terbengkalai dikenal pasti
di seluruh negara.
Daripada 122 projek perumahan terbengkalai, 99 projek masih terbengkalai, 15
projek sudah diambil alih pemaju lain dan sedang diusahakan manakala lapan
lagi tidak sesuai dipulihkan.
Mengulas konsep 'bina dulu baru jual' yang dibangkitkan Wong Nai Chee (BN-Kota
Melaka) dalam soalannya pada sesi soal jawab, Ong berkata, kementeriannya
sedang mengkaji konsep itu secara teliti bagi memastikan pelaksanaannya
tidak menjejaskan bekalan rumah yang mampu dimiliki rakyat pada masa depan
dan implikasinya terhadap industri perumahan.
|