Pembeli hartanah PKNS belum
pindah milik
22/01/2007 Berita Harian
LEBIH 23,000 pembeli hartanah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)
dikesan masih belum memindah milik hartanah ke atas nama masing-masing.
Sehubungan itu, PKNS akan menjalankan kempen bersepadu tahun ini untuk
mempercepatkan proses pindah milik 10,924 unit hartanah hak milik individu
bagi harta tanah membabitkan rumah teres, banglo, kedai dan lot industri.
Sejumlah 12,261 pembeli pangsapuri dan rumah pangsa juga dikesan belum
memindah milik hartanah mereka bagi membolehkan pembentukan Perbadanan
Pengurusan.
Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Mohd Wazir Abdul Gani, berkata proses pindah
milik penting kerana ia membolehkan nama pembeli didaftarkan di atas suratan
hak milik yang menunjukkan mereka adalah pemilik sah atas harta berkenaan.
Katanya, ini membolehkan pembeli melakukan urusan jual beli, gadaian dan
juga urusan pindah milik kepada waris mereka seperti yang terkandung dalam
Kanun Tanah Negara.
“Pemilik juga akan mudah berurusan dengan bank bagi membuat pinjaman semula
untuk membolehkan pembeli menggunakan sejumlah pinjaman untuk kegunaan
lain,” katanya.
Beliau berkata, kawasan yang terbabit termasuk 7,765 unit di Shah Alam,
Bandar Baru Bangi (4,405), Ampang Hulu Klang (4,022), Kota Damansara
(1,844), Petaling Jaya (1,729) dan kawasan lain (3,420).
Mohd Wazir berkata, antara punca berlakunya situasi berkenaan adalah kerana
kurangnya minat pembeli untuk memindah milik dan kurang kefahaman mengenai
kepentingan pindah milik.
Selain itu, katanya, kegagalan pindah milik juga berlaku disebabkan pembeli
asal sudah meninggal dunia dan pembeli serta waris yang tidak dapat
dihubungi.
“Bayaran duti setem dan yuran guaman yang tinggi juga adalah antara sebab
keengganan pembeli memindah milik,” katanya.
Mohd Wazir berkata, PKNS akan mengadakan 20 sesi penerangan dalam kempennya
untuk menjelaskan proses kerja yang perlu dilalui dan menerangkan masalah
lain yang boleh merumitkan pemilikan hartanah.
Katanya, ia termasuk masalah harta pusaka, kes tertangguh dan masalah harta
yang akan dilelong apabila berlaku kematian terhadap pemilik asal harta yang
belum dipindahmilik.
|