Beli rumah hanya daripada
pemaju berlesen
29/01/2007 KOSMO
Shah Alam - Mereka yang ingin
membeli rumah kini mempunyai satu lagi langkah yang perlu dibuat selain
melihat jenis kediaman, lokasi, harga dan sebagainya.
Bagi Menteri Perumahan dan
Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, satu tugas tambahan itu ialah
memeriksa terlebih dahulu sama ada pemaju terbabit mempunyai lesen.
"Pembeli boleh minta maklumat
mengenai pemaju daripda kementerian. Ini bagi mengelakkan pembeli terus
ditipu dan teraniaya apabila sesuatu projek perumahan terbengkalai atau
sebagainya," katanya di sini semalam.
Katanya, pembeli juga boleh
mendapatkan panduan mengenai cara-cara untuk memeriksa latar belakang pemaju
berlesen itu, di laman web kementerian berkenaan.
Beliau berkata demikian semasa
diminta mengulas aduan beberapa pembeli rumah di sini minggu lepas yang
menyuarakan rasa tidak puas hati selepas kerja-kerja membina rumah yang
diblei mereka terbantut apabila projek terbengkalai, dan pemaju projek itu
pula didapati tidak mempunyai lesen.
Pemaju berkenaan bagaimana pun
dikatakan sudah membangunkan enam projek perumahan disekitar Klang sebelum
ini.
Menurutnya, kementerian memandang
serius perkara itu dan dalam proses mengambil tindakan terhadap pemaju
berkenaan. |