Pemaju bermasalah disenarai
hitam
30/01/2007 Berita Harian
KLANG: Tindakan tegas perlu diambil terhadap pemaju hartanah yang gagal
memenuhi keperluan dalam perjanjian jual-beli, khususnya dalam menyediakan
keperluan pembangunan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berharap pemaju bermasalah,
disenarai hitam dan tidak dibenarkan melaksanakan projek di kawasan lain
kerana ia menyusahkan banyak pihak.
"Saya mengalu-alukan tindakan tegas Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan (KPKT), malah kerajaan negeri juga ada menerima beberapa aduan
mengenai perkara sama," katanya pada sidang media selepas majlis Inventori
Permasalahan Rakyat (IMR) di sini, baru-baru ini.
Pada IMR pertama kali tahun ini, sebanyak 129 aduan membabitkan isu tanah,
bangunan, perkhidmatan pihak berkuasa tempatan dan kepemimpinan, diterima.
Program itu sedikit kecoh apabila seorang lelaki ‘mengamuk’ selepas aduannya
membabitkan masalah tanah berstatus lesen menduduki sementara (TOL), ditolak
sebelum ditenangkan polis.
Dr Mohamad Khir berkata, pemaju perumahan yang gagal mematuhi perjanjian
jual-beli di negeri ini disenarai hitam tetapi pembatalan lesen pemaju bukan
bidang kuasa kerajaan negeri.
Mengenai sama ada rumah yang dibina pemaju hartanah tanpa lesen akan diroboh,
Dr Mohamad Khir berkata, kerajaan negeri tidak boleh mengambil tindakan
sewenang-wenangnya kerana membabitkan harta orang ramai.
"Meroboh (bangunan) akhirnya akan merugikan rakyat. Ia adalah tindakan akhir.
Pemaju yang sepatutnya dihukum, bukan orang ramai," katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Mohamad Khir berkata, penasihat undang-undang di
agensi dan PBT di Selangor diarah mengikuti kursus pengetahuan mengenai Akta
Kerajaan Tempatan 1976 bagi memantapkan pemahaman undang-undang itu.
Katanya, sebahagian pengarah dan penasihat undang-undang di agensi terbabit
tidak memahami undang-undang dan akta berkenaan, menyebabkan banyak kes
mahkamah, kalah.
Beliau berkata, penasihat undang-undang sudah diarahkan diserap ke Jabatan
Undang-undang Negeri sekurang-kurangnya tiga bulan bagi membolehkan mereka
memahami akta itu.
"Penguat kuasa PBT juga tidak terdedah dengan Akta Kerajaan Tempatan kerana
kebanyakan mereka diambil bekerja dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM)," katanya. |