This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemilik 120 rumah Taman Puchong, Paik Siong resah
24/01/2007 Berita Harian Oleh Azida Shaharuddin

Majlis Perbandaran Subang Jaya gagal atasi masalah banjir kilat lebih 30 tahun akibat pembetung lebuh raya sempit

CARI PENYELESAIAN: Lau (tengah) dan Megat Ahmad Momin (kiri) membincangkan langkah mengatasi masalah banjir kilat di dua taman perumahan di Seksyen 2, Taman Kinrara.

PUCHONG: Pemilik 120 kediaman di Taman Puchong dan Taman Paik Siong di Taman Kinrara Seksyen 2 di sini, sudah tidak tahan lagi dengan masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan perumahan mereka sejak 30 tahun lalu.

Seorang penduduk, Yap Mook Num, 69, berkata walaupun aduan sudah dibuat beberapa kali kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), namun masih belum ada sebarang tindakan yang diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) itu untuk menangani masalah berkenaan.

Beliau yang tinggal di taman itu lebih 40 tahun, berkata keadaan banjir kilat juga bertambah teruk sejak akhir tahun lalu apabila tiba musim hujan.

“Sebelum ini banjir kilat tidak begitu teruk dan hanya berlaku apabila hujan sangat lebat.

“Tetapi kini setiap kali hujan lebat, air naik sehingga dua kaki ditambah pula dengan bau busuk serta kotor, dan setiap kali itu kami sekeluarga terpaksa membersihkannya,” katanya.

Pemilik rumah yang turut terjejas, S Muhendaran, berkata beliau membeli kediaman yang didirikan di struktur tanah lebih rendah di taman perumahan itu sejak dua tahun lalu tetapi hampa kerana masih belum dapat berpindah masuk disebabkan masalah banjir kilat itu.

“Saya difahamkan banjir kilat yang berlaku sebelum ini tidak begitu teruk. Tetapi apabila musim hujan bermula tahun lalu, keadaan dilihat bertambah buruk sehingga pernah sekali ia mencecah ke paras pinggang.

“Disebabkan itu, hasrat untuk pindah masuk ke kediaman baru dibatalkan dan saya sekeluarga terpaksa terus menetap di Brickfields,” katanya sewaktu ditemui di kawasan perumahan itu baru-baru ini.

Ahli Parlimen Puchong, Lau Yeng Peng, berkata penduduk terpaksa berdepan dengan masalah itu berikutan sistem perparitan lama yang dibina sebelum ini tidak lagi dapat menampung aliran air yang semakin banyak di kawasan sekitarnya.

“Pembangunan sekitar seperti kediaman dan kilang semakin meningkat menyebabkan sistem perparitan tidak lagi dapat menampung air sekali gus melimpah apabila hujan,” katanya.

Malah, beliau difahamkan pembetung di Lebuhraya Kesas yang menampung air hujan untuk disalurkan ke Sungai Klang juga kecil menyebabkan air hujan tidak dapat mengalir dengan cepat.

Jurutera Bahagian Saliran MPSJ, Megat Ahmad Momin Megat Adnan, yang turun padang meninjau masalah itu, berkata MPSJ akan mengadakan mesyuarat dengan penduduk, pemaju dan pihak berkaitan bagi mengatasi masalah itu secepat mungkin.

“Mesyuarat ini dijangka diadakan di MPSJ pada bulan ini, dan sementara itu pihak kami akan membersihkan kawasan taman ini seperti yang selalu dilakukan sebelum ini,” katanya.
 

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.