PKNS: 23,000 pembeli belum
pindah milik
20/02/2007 Utusan Malaysia
PETALING JAYA 19 Jan. – Lebih 23,000 pembeli hartanah Perbadanan Kemajuan
Negeri Selangor (PKNS) dikesan masih belum memindah milik hartanah kepada
nama masing-masing.
Sehubungan itu, PKNS akan menjalankan kempen bersepadu pada tahun ini untuk
mempercepatkan proses pindah milik 10,924 unit hartanah hak milik individu
bagi harta tanah melibatkan rumah teres, banglo, kedai dan lot industri.
Sejumlah 12,261 pembeli pangsapuri dan rumah pangsa juga dikesan belum
memindah milik hartanah mereka bagi membolehkan pembentukan Perbadanan
Pengurusan.
Pengurus Perhubungan Awam PKNS Mohd Wazir Abdul Gani berkata, proses pindah
milik adalah penting kerana ia membolehkan nama pembeli didaftarkan di atas
suratan hak milik yang menunjukkan mereka adalah pemilik sah atas harta
berkenaan.
“Dengan cara ini, pembeli boleh melakukan urusan jual beli, gadaian dan juga
urusan pindah milik kepada waris mereka sebagaimana yang terkandung dalam
Kanun Tanah Negara.
“Pemilik juga akan mudah berurusan dengan bank bagi membuat pinjaman semula
untuk membolehkan pembeli menggunakan sejumlah pinjaman untuk kegunaan
lain,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Kawasan yang terlibat termasuklah 7,765 unit di Shah Alam, Bandar Baru Bangi
(4,405), Ampang Hulu Klang (4,022), Kota Damansara (1,844), Petaling Jaya
(1,729) dan kawasan lain (3,420), katanya.
Mohd Wazir berkata, antara punca berlakunya situasi tersebut adalah kerana
kurangnya minat pembeli untuk memindah milik dan kurang kefahaman tentang
kepentingan pindah milik.
Selain itu antara punca kegagalan pindah milik berlaku adalah kerana pembeli
asal telah meninggal dunia dan juga pembeli dan waris yang tidak dapat
dihubungi, katanya.
Bayaran duti setem dan yuran guaman yang tinggi juga merupakan antara sebab
keengganan pembeli memindah milik, katanya.
Mohd Wazir berkata, PKNS akan mengadakan 20 sesi penerangan dalam kempennya
untuk menjelaskan proses kerja yang perlu dilalui dan menerangkan masalah
lain yang boleh merumitkan pemilikan hartanah termasuklah masalah harta
pusaka, kes tertangguh dan masalah harta yang akan dilelong apabila berlaku
kematian terhadap pemilik asal harta yang belum dipindahmilik.
Beliau berkata, pemilik yang belum berbuat demikian digesa berjumpa dengan
PKNS atau panel peguam yang dilantik bagi menguruskan urusan pindah milik.
Bagi keterangan lanjut pembeli boleh menghubungi 03-7957 2955 sambungan 4011
(Petaling Jaya), 03-5519 2211 (Shah Alam) dan 03-8925 0216 (Bangi).
|