Rumah pangsa terbabit tanah
runtuh selamat
24/01/2007 Berita Harian Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
JKR sahkan struktur tanah di blok B3, B6 Seksyen 10 Wangsa Maju tidak
terjejas
KUALA LUMPUR: Pemilik dan penghuni blok B3 dan B6 rumah pangsa Seksyen 10
Wangsa Maju yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh lebih tiga bulan lalu
dibenarkan menduduki semula kediaman masing-masing pada 15 Februari ini
selepas ia disahkan selamat.
DALAM PROJEK: Zulhasnan (dua dari kanan) meninjau projek pembinaan semula
benteng yang runtuh tigabulan lalu di Seksyen 10 Wangsa Maju, Kuala Lumpur,
semalam.
Bagaimanapun, penghuni blok B4 dan B5 hanya dibenarkan pulang pada 15 Mac
ini kerana kontraktor masih melakukan kerja tambahan seperti memulihkan
kemampatan tanah bagi menjamin keselamatan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique, berkata penduduk tidak
perlu bimbang kerana Bahagian Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR)
mengesahkan struktur tanah selamat untuk diduduki.
“Selepas kerja tambahan siap, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan JKR
akan mengadakan lawatan tapak teknikal terakhir dan jika menepati
spesifikasi ditetapkan, penghuni boleh kembali tanpa rasa bimbang.
“Penghuni yang belum dibenarkan pulang boleh terus mendiami Projek Perumahan
Rakyat (PPR) Semarak dan menikmati kemudahan sewa rumah, bayaran bil
elektrik dan air percuma sehingga menerima notis berpindah daripada DBKL,”
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan teknikal bersama
DBKL, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan JKR semalam. Turut hadir,
Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup dan Timbalan Ketua Pengarah
Perkhidmatan DBKL, Mhd Amin Nordin Abd Aziz.
Dalam kejadian 9 Oktober lalu, lebih 700 penghuni empat blok flet kos rendah
itu dipindahkan serta-merta selepas berlaku tanah runtuh bersebelahan dua
blok lima tingkat flet berkenaan dipercayai akibat hujan lebat.
Tanah runtuh sedalam kira-kira enam meter itu berlaku jam 7.10 malam, lima
minit selepas masuk waktu Maghrib, menyebabkan kawasan pembuangan sampah
flet serta bahagian tepi sebuah rumah runtuh.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Kejuruteraan Cerun JKR, Datuk Ir Ashaari
Mohamad, berkata kontraktor sedang melaksanakan kerja penambakan tanah
melalui reka bentuk yang disediakan perunding.
“Kerja penanaman rumput sudah dibuat dan seterusnya membina sistem
perparitan, sambungan air dengan Indah Water Konsortium (IWK) serta
pembinaan jalan dan pagar akan disiapkan dalam tempoh dua minggu.
“Penghuni blok B4 dan B5 perlu menunggu kerana kerja tambahan selain asas
tanah belum begitu kukuh dan mengambil kira-kira sebulan lagi untuk
disiapkan,” katanya. |