Rumah kecil bayar mahal
29/01/2007 Harian Metro Oleh Noor Nastassia Mohamad Redza
PETALING JAYA: Persatuan Kebajikan Penduduk Blok C dan D Flet Petaling Utama
di sini, mahu pihak pemaju membayar wang pampasan RM7,000 kepada setiap
penduduk tingkat bawah flet itu yang tertunggak hampir lima tahun.
Ini berikutan keluasan rumah itu lebih kecil berbanding keluasan di tingkat
lain, namun penduduk terpaksa membayar harga yang sama sebanyak RM42,000
untuk membeli kediaman mereka.
Masalah itu antara yang dibangkitkan dalam mesyuarat kali pertama 2007
anjuran persatuan penduduk di situ, semalam.
Sehubungan dengan masalah itu, penduduk bercadang melantik peguam untuk
mengambil tindakan terhadap pemaju bagi pihak pembeli.
Timbalan Presiden Persatuan Penduduk, K Puspanathan berkata, pihak pemaju
berjanji membayar semula wang lebihan yang dibayar penduduk tingkat bawah
disebabkan harganya yang tidak memadai dengan keluasan sebenar.
“Namun, perkara itu berlarutan sejak hampir lima tahun lalu dan penduduk
diberi janji kosong tanpa ada sebarang tindakan daripada pemaju,” katanya
selepas mesyuarat berkenaan.
Di samping itu, katanya penduduk juga menghadapi masalah keselamatan kerana
ada antara penduduk yang kehilangan motorsikal atau kereta.
Setiausaha Persatuan Penduduk, Ismail Aziz, berkata penduduk blok C dan D
memerlukan sebuah pondok polis bagi mengawasi kawasan itu yang tidak selamat
pada waktu malam.
“Kami sudah menghantar surat tetapi pihak polis mengatakan mereka tidak
mempunyai anggota yang cukup mengawasi kawasan berkenaan, namun ada polis
yang meronda kawasan ini pada waktu malam,” katanya.
Selain itu, penduduk mahukan sebuah taman permainan dibangunkan di kawasan
itu berikutan anak-anak mereka tiada tempat yang sesuai untuk bermain
melainkan di atas jalan raya yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.
Ismail berkata, tapak untuk membangunkan taman permainan sudah ada tetapi
pihak pemaju memberi alasan ada permohonan yang dibuat supaya tapak itu
dijadikan sebuah surau.
“Di sini, sudah ada tiga surau didirikan dan pada saya, tidak perlu menambah
sebuah lagi kerana majoriti penduduk di sini kaum India, jadi saya rasa
taman permainan lebih diperlukan supaya anak-anak boleh bermain manakala ibu
bapa boleh bersenam dengan selesa disitu,” katanya.
Dalam mesyuarat itu juga, pihak persatuan penduduk mahu sebuah akhbar
berbahasa Tamil memohon maaf kepada mereka berikutan dakwaan persatuan yang
ditubuhkan itu tidak sah, walhal sijil sah Persatuan Kebajikan Penduduk Blok
C dan D Flet Petaling Utama dikeluarkan pendaftar penubuhan pada 25
September 2006 lalu.
Berikutan laporan itu difahamkan, ada antara penduduk tidak mahu mendaftar
sebagai ahli persatuan penduduk dan tidak yakin dengan penubuhan persatuan
itu berikutan kenyataan yang dikeluarkan khbar itu.
Persatuan akan mengambil tindakan mahkamah jika pihak akhbar berkenaan tidak
menarik balik kenyataan itu dan diminta memohon maaf kepada penduduk di
situ.
Selain mesyuarat, penduduk diberi poster serta risalah mengenai wabak denggi
dari pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pameran keselamatan
jalan raya oleh pihak Polis Diraja Malayasia (PDRM) cawangan trafik Petaling
Jaya. |