Sikap pemaju punca banjir
31/01/2007 Harian Metro Oleh Ahmad Syahrul Derauh
GEMAS: Kerajaan negeri mengenalpasti tindakan segelintir pemaju menutup
saluran anak sungai di daerah ini untuk membangunkan kawasan perumahan
sebagai punca utama berlakunya bencana banjir sehingga menyebabkan kerosakan
harta benda penduduk, baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pemaju sanggup mengabaikan
risiko yang boleh berlaku semasa membangunkan kawasan terbabit walaupun
mengetahui ia bakal mengundang banjir.
Beliau berkata, tindakan pemaju menutup saluran anak sungai berhampiran
ketika mendirikan kawasan perumahan itu menyebabkan berlakunya limpahan air
sebaik hujan lebat melanda.
“Kita sudah mengenal pasti pemaju projek penempatan rumah rakyat berdepan
dengan Kem Syed Sirajuddin, di sini menutup anak sungai sehingga mengganggu
kelancaran saliran.
“Sungai itu sememangnya laluan air. Bila ditutup, air melimpah keluar,”
katanya selepas majlis penyerahan bantuan kepada mangsa banjir, di Dewan
Orang Ramai Gemas, di sini, semalam.
Turut hadir, isterinya, Datin Seri Salbiah Tunku Nujumuddin, Ahli Parlimen
Tampin, Datuk Shaziman Abu Mansor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)
Gemas, Datuk Jamlus Aziz.
Sehubungan itu, Mohamad mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat
tindakan susulan bagi menangani masalah itu termasuk lebih peka sebelum
meluluskan sebarang projek pembangunan di daerah ini.
Katanya, projek membabitkan kawasan yang mudah dilanda banjir seperti
kawasan paya dan hutan bakau perlu dikaji semula supaya tidak mengundang
masalah kepada penduduk sekitar.
“Kalau mereka hendak membuat pembangunan, bangunkanlah kawasan lain. Banyak
lagi kawasan lain yang boleh dibangunkan selain tempat berisiko ini, “
katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil
tindakan kepada pemaju terbabit dalam masa terdekat.
Dalam majlis itu, seramai 415 keluarga menerima bantuan sebanyak RM500 serta
tambahan antara RM100 hingga RM200 untuk mangsa yang mempunyai anak yang
masih bersekolah selain sumbangan barang keperluan.
Ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri untuk menangani banjir
selepas ini, Mohamad berkata, usaha sedang dibuat dengan menumpukan kepada
kerja pelebaran anak sungai di sekitar negeri ini yang kini didapati semakin
cetek.
“Saya sudah berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri
untuk membuat kerja menggali, melurus serta mendalamkan sungai itu supaya ia
dapat menampung air ketika hujan lebat, “ katanya. |