Syarikat pemaju diserbu
27/01/2007 Harian Metro
Klang: Seorang pesara tentera
yang jelas marah dengan kerenah sebuah syarikat pemaju perumahan di Taman
Bayu Perdana, di sini yang dianggapnya menipu, gembira apabila mendapati
pejabat itu diserbu pegawai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)
semalam.
Sulaiman Maarok, 64, dari Sungai
Udang, dekat sini, memberikan tempoh sehingga semalam kepada pemaju untuk
menyelesaikan masalahnya sebelum dia mengambil tindakan lanjut.
"Saya memang nak jumpa pegawai
syarikat ni. Mereka janji nak jumpa saya, dan saya mahu penyelesain. Jika
tidak, saya tak taulah. Apa nak jadi pun, biarkan.
"Tetapi hari ini nampaknya ada
pegawai datang, media pun ada, baguslah," katanya.
Difahamkan Sulaiman adalah antara
pemilik tanah yang dijanjikan keuntungan melalui konsep perkongsian dengan
syarikat terbabit tetapi mereka menghadapi masalah kerana projek perumahan
yang dicadangkan terbengkalai.
Menurut Sulaiman, dia bersetuju
bekerjasama dengan syarikat itu kira-kira empat tahun lalu di atas sebidang
tanahnya di Jalan Merak, Sijangkang. Sebagai balasan, Sulaiman dijanjikan
dua unit rumah jenis berkembar.
"Sementar menanti rumah itu siap,
saya tinggal di rumah lain dan syarikat ini membayar RM450 sebulan sebagai
sewa bulanan.
"Sekarang sudah tiga bulan
bayaran itu tidak dibuat," katanya. |