This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

REHDA mohon ‘lepas’ 6,194 hartanah kuota bumiputera
10/11/2007 Utusan Malaysia Oleh Lukman Ismail

MELAKA 9 Nov. – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) memohon agar 6,194 buah hartanah yang dikhususkan untuk bumiputera yang masih belum dibeli di negeri ini, agar ‘dilepaskan’ untuk pasaran terbuka.

Pengerusi REHDA Cawangan Melaka, Datuk Lim Cheow Seng berkata, kegagalan hartanah tersebut dibeli oleh bumiputera menyebabkan pemaju terpaksa menanggung kerugian sehingga RM730 juta.

‘‘Dengan melepaskan hartanah berkenaan ke pasaran terbuka, ia akan membolehkan pemaju perumahan menampung kos pegangan tersebut, terutama ketika ekonomi menurun,” katanya pada majlis pelancaran ekspo jualan rumah (Mapex) ketiga 2007 di Dataran Pahlawan Megamall di sini, semalam.

Mapex khas untuk bumiputera itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Pengangkutan negeri, Datuk Koh Nai Kwang yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Cheow Seng berkata, pada masa yang sama pihaknya juga berharap kerajaan negeri dapat menghapuskan levi atau menyeragamkannya kepada empat peratus yang dikenakan terhadap pemaju yang mahu melepaskan kuota bumiputera yang tidak dibeli itu.

‘‘Ia bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh pemaju untuk sebarang pengurangan atau pelepasan kuota bumiputera yang masih belum dibeli memandangkan tanggungan kos unit yang tidak dibeli itu sudah tinggi,” katanya.

Pada sidang media kemudiannya, Cheow Seng berkata, unit-unit hartanah yang masih belum dibeli itu terdiri daripada pelbagai jenis seperti lot rumah kedai, rumah teres dan pangsapuri.

Sementara itu Nai Kwang berkata, pihaknya akan membuat kajian berhubung permohonan REHDA itu dan akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri mengenainya.

‘‘Perkara ini pernah saya bincang dengan Ketua Menteri sebelum ini tetapi saya akan mengemukakan sekali lagi kepada beliau mengenai masalah kuota rumah bumiputera yang tidak dibeli ini,” katanya.

Mapex yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam itu, disertai oleh 29 pemaju perumahan, empat agensi kerajaan dan dua institusi kewangan.

Ia bertujuan untuk mempromosikan hartanah perumahan dan komersial yang disediakan oleh pemaju kepada pembeli-pembeli bumiputera di negeri ini.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.