Selangor dijangka senarai
hitam 16 pemaju
26/11/2007 Berita Harian
SHAH ALAM: Sebanyak 16 syarikat pemaju bakal disenarai hitam oleh kerajaan
Selangor kerana gagal mengemukakan permohonan mendapatkan hak milik strata
bagi setiap unit kediaman bertingkat yang dibina.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud, berkata kerajaan negeri akan
membekukan kelulusan bagi sebarang projek di negeri itu yang dipohon pemaju
terbabit pada masa depan serta akan menghantar senarai 16 pemaju perumahan
kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan mencadangkan lesen
syarikat terbabit ditarik balik.
Pemaju yang berdepan tindakan itu ialah Tetuan Air Hitam Tin Dredging, Tanco
Development Sdn Bhd, Crimson Sdn Bhd, Mega Idea Sdn Bhd, Maxisegar
Construction Sdn Bhd, Talam Industries Sdn Bhd, Medan Prestasi Sdn Bhd.
Jiwa Murni Sdn Bhd, Melombong Dan Perumahan Sdn Bhd, Rasmi Sdn Bhd, Lee Man
Construction Sdn Bhd, Nich Murni Sdn Bhd, Lebby Sdn Bhd, Perwira Indera
Sakti, Juru Bina Tenaga Sdn Bhd dan Ukay Land Sdn Bhd.
Pemaju terbabit tidak menghantar permohonan sekali gus bermakna tidak
membayar premium tanah atau permohonan dihantar tidak lengkap dan tidak
boleh diproses.
Ramli berkata, pihaknya memberi tempoh dua minggu untuk mengemukakan
permohonan hak milik strata bermula hari ini bagi mengelak dikenakan
tindakan itu.
Semua PTG telah diarah untuk membuka kaunter khas di Bahagian Strata untuk
urusan runding cara dengan pemaju dan bagi yang masih ingkar kita akan
mengambil tindakan keras.
Beliau berkata, kegagalan syarikat terbabit memohon hak milik strata
menyukarkan pemilik unit kediaman atau bangunan itu menjalankan urus niaga
sama ada menjual, cagar atau pajak jika mengalami kesusahan.
Ramli berkata, sebanyak 926 pemaju pula gagal membayar yuran proses
permohonan hak milik strata walaupun permohonan sudah diluluskan menyebabkan
kerajaan negeri menanggung bayaran tertunggak yang dianggarkan RM10 juta.
Semua syarikat terbabit sudah diberi tempoh selama dua bulan membuat bayaran
dan tindakan senarai hitam akan diambil jika ingkar dengan arahan itu.
Sementara itu, sebanyak 130,328 surat hak milik strata dikeluarkan
membabitkan 2,188 pemaju, manakala 101,781 petak masih dalam proses dan
dijangka selesai akhir tahun ini.
Dalam perkembangan lain, 1.1 juta permohonan untuk menukar status tanah
daripada hak milik sementara (QT) kepada hak milik kekal (FT) sudah diterima
dan daripada jumlah itu 672,000 permohonan didaftarkan, manakala 288,000
masih dalam proses dan dijangka selesai akhir tahun ini.
Katanya, pemilik tanah yang mempunyai masalah dengan pengeluaran FT boleh
berurusan di pejabat tanah dan daerah dengan membawa bersama salinan QT.
|