Sri Townvilla: Pemaju jamin
masalah selesai sebulan
15/11/2007 Utusan Malaysia Oleh Au Yeong How
KUALA LUMPUR 14 Nov. – Pemaju perumahan Sri Townvilla Sri Gombak, KA
Resources Sdn. Bhd. memberi jaminan akan menyelesaikan masalah yang dihadapi
oleh pembeli rumah tersebut dalam tempoh sebulan lagi.
Jurucakap syarikat itu berkata, pihaknya mengakui segala masalah yang
dibangkitkan dan sedang berusaha untuk mengatasinya.
‘‘Walaupun tembok penahan tanah yang runtuh tersebut terletak di luar
kawasan projek berkenaan, tetapi kami berusaha untuk mengatasinya demi
kepentingan pembeli.
‘‘Kami sedang berusaha mematuhi keperluan teknikal Institut Kerja Raya
Malaysia (Ikram),’’ katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan Utusan Malaysia semalam mengenai rintihan
seramai 42 pembeli rumah Sri Townvilla, Sri Gombak yang menggesa pemaju
memperbaiki dinding penahan tanah runtuh di belakang kediaman mereka.
Menurut penduduk terbabit, kegagalan berbuat demikian dikenal pasti menjadi
punca kelewatan pengeluaran sijil layak menduduki (CF) oleh Majlis
Perbandaran Selayang (MPS).
Selain itu, pembeli turut meminta pemaju segera menyelesaikan masalah
bekalan air ke rumah itu yang telah tertangguh selama dua tahun walaupun
bayaran pendahuluan telah dijelaskan.
Berdasarkan perjanjian jual beli, Sri Townvilla yang dijual pada harga
RM199, 000 hingga RM230,000, sepatutnya siap Jun 2006 tetapi mengalami
kelewatan sehingga Januari tahun ini.
Jurucakap itu berkata, pihaknya akur dengan keperluan pakar runding itu
walaupun hakikatnya, dinding penahan tanah runtuh terletak di luar kawasan
projek.
‘‘Kami akan cuba menyelesaikan isu tersebut sebaik mungkin walaupun terpaksa
berbelanja besar,’’ katanya.
Beliau menambah, syarikat itu juga akan mengadakan perbincangan dengan
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam masa terdekat bagi mencari
penyelesaian kepada beberapa masalah berkaitan di projek berkenaan.
Menurutnya, pada masa ini syarikat tersebut telah berjaya mematuhi lima
daripada tujuh kelulusan yang diperlukan oleh pihak berkuasa sebelum
meluluskan CF.
‘‘Kami sedang berusaha keras menyelesaikan masalah ini,’’ katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhubungan Awam MPS, Mohd. Zin Masoad ketika
dihubungi mengesahkan pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan CF
daripada pemaju itu.
“Pemaju belum lagi menghantar permohonan untuk CF kerana masih belum
mematuhi keperluan IKRAM dan JPS.
“Adalah menjadi tanggungjawab pemaju untuk mematuhi syarat-syarat yang
dituntut IKRAM iaitu meneguhkan cerun itu,’’ tegasnya. |