Peguam dipercayai seleweng
wang pelanggan RM746,000 ditahan
27/12/2007 Utusan Malaysia Oleh
Kamil Maslih
JOHOR BAHRU 26 Dis. – Polis menahan seorang peguam yang dipercayai melakukan
pecah amanah wang RM746,000 milik tujuh pelanggannya terdiri daripada
kakitangan kerajaan.
Wang milik mangsa itu sepatutnya diserahkan kepada pemaju perumahan bagi
pembelian rumah lapan tahun lalu.
Polis percaya suspek yang berusia 41 tahun itu turut terlibat dalam kes yang
sama di Kuala Lumpur sebelum ini.
Peguam itu diberkas di rumahnya di Pontian pada Ahad lalu dan kini ditahan
reman sehingga Jumaat ini.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Supritendan Nasbah
Jusoh berkata, siasatan mendapati peguam berkenaan disyaki menyeleweng wang
milik ketujuh-tujuh pelanggannya itu dari 1999 hingga 2001.
“Kes itu melibatkan wang pinjaman perumahan kakitangan kerajaan terbabit
yang diserahkan kepada peguam berkenaan selaku panel guaman syarikat pemaju
perumahan berkaitan,” kata Nasbah pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya: “Peguam itu diberkas kerana gagal menyerahkan wang pinjaman
pelanggannya kepada syarikat pemaju perumahan terbabit.”
Menurut Nasbah, semua mangsa dalam kes itu adalah rakyat negeri ini termasuk
seorang pesara polis.
Beliau menambah, berikutan terdapat maklumat bahawa peguam itu turut disyaki
melakukan kesalahan yang sama di negeri lain terutama di Kuala Lumpur, polis
kini memperluaskan siasatan terhadapnya.
Beliau berkata, polis sedang meneliti setakat mana penglibatannya dalam
kes-kes pecah amanah selain kes yang membabitkan tujuh pelanggan di Johor
itu.
“Kita ada maklumat tentang kemungkinan suspek terlibat dalam pecah amanah di
Kuala Lumpur, jadi kita sedang siasat,” katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut juga akan dijalankan bagi menahan mana-mana
individu lain yang berkemungkinan turut bersubahat dalam kegiatan pecah
amanah tersebut.
“Selain soal siasat terhadap suspek, kita mungkin akan mengambil keterangan
saksi-saksi termasuk pegawai syarikat pemaju perumahan selain mangsa-mangsa,”
ujarnya.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan
hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan. |