30 desak bayar pampasan
02/02/2007 Harian Metro Oleh Esther Loh En Fui
Penghuni bawah block C, D Flet Petaling Utama sudah tunggu lima tahun,
RM7,000 dijanjikan pemaju
PETALING JAYA: Sebanyak 30 penghuni tingkat bawah blok C dan D Flet Petaling
Utama di Jalan PJS 1/52, di sini mendesak pemaju kawasan perumahan itu
menyegerakan bayaran pampasan sebanyak RM7,000 kepada mereka yang sudah
tertangguh sejak lima tahun lalu.
Pampasan itu disebabkan pemaju mengenakan harga rumah yang sama untuk unit
di tingkat bawah yang keluasannya 650 kaki persegi dengan unit tingkat atas
yang berkeluasan 700 kaki persegi.
Setiausaha Persatuan Penduduk-Penduduk Kebajikan Blok C & D kawasan
perumahan itu, Ismail Abdul Aziz, berkata pemaju menjanjikan bayaran itu
tetapi sehingga kini ia belum dikotakan.
“Sudah 10 kali kami mengadakan dialog dengan pemimpin tempatan dan telah
menghantar surat kepada pihak berkuasa tetapi kami masih belum menerima
sebarang maklum balas daripada mereka,” katanya pada Mesyuarat Agong Kali
Pertama persatuan itu di sini, baru-baru ini.
Beliau mencadangkan supaya persatuan melantik seorang peguam untuk mengambil
tindakan bagi pihak pembeli sekiranya pemaju tidak membayar wang pampasan
itu dalam masa terdekat.
Selain masalah itu beberapa perkara yang turut dibangkitkan pada mesyuarat
itu ialah sejak lima tahun lepas juga, penghuni di sini tidak mempunyai
talian tetap telefon dan berharap pemaju menyegerakan perkara itu supaya
penghuni mendapat talian telefon dan internet untuk tujuan pembelajaran
anak-anak.
Ismail berkata, kanak-kanak di kawasan perumahan itu juga tiada tempat
bermain menyebabkan mereka menjadi jalan raya sebagai kawasan untuk bermain.
“Tapak sudah disediakan tetapi tidak dimajukan dan tempat itu pula sudah
dipenuhi semak samun dan sampah-sarap,” katanya.
Sementara itu Pengerusi MIC cawangan Jalan 1/52 PJ, Sendereprakasan berkata,
ketiadaan tapak permainan menyebabkan kanak-kanak tiada tempat untuk
beriadah.
|