PM dijangka lancar CCC April
12/02/2007 Berita Harian
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka
melancarkan penggunaan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) menggantikan
Sijil Layak Menduduki (CFO), April ini.
Selepas pelancaran, sistem baru penggunaan sijil itu yang pengeluarannya
dikendalikan profesional membabitkan jurutera dan arkitek akan
dikuatkuasakan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata
Perdana Menteri juga akan diberi taklimat khas mengenai CCC yang disertai
semua Menteri Besar.
Katanya, penyertaan Menteri Besar pada taklimat dan pelancaran CCC penting
kerana pengeluaran CFO untuk bangunan sebelum ini adalah tanggungjawab pihak
berkuasa tempatan (PBT) yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Parlimen sudah meluluskan Rang Undang-undang Parit, Jalan dan Bangunan (Pindaan
2006) pada Disember tahun lalu yang merintis jalan ke arah memperkenalkan
CCC menggantikan CFO.
“Kini kementerian sedang menunggu Rang Undang-undang berkenaan dan kita
jangka pengunaan CCC dapat dikuatkuasakan April ini,” katanya kepada
pemberita selepas melancarkan Kempen Masyarakat Penyayang MCA sempena Tahun
Baru Cina di Taman Tasek Titiwangsa di sini, semalam.
Akhir November lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada
sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan
Tempatan ke-56 di Putrajaya, berkata rancangan pelaksanaan CCC diluluskan
kerajaan menggantikan CFO yang dikeluarkan PBT sekarang serta menggalakkan
pensijilan yang dikeluarkan profesional seperti arkitek dan jurutera.
Beliau berkata, pengunaan CCC akan berkuatkuasa seawal-awalnya dalam tempoh
18 bulan selepas semua akta itu diluluskan oleh Parlimen dan mendapat
perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Ong berkata, pengunaan CCC itu juga dijangka dapat mengurangkan kerenah
birokrasi dan mengatasi masalah projek terbengkalai kerana sijil itu akan
dikeluarkan oleh badan profesional, bukan lagi PBT. |