MNKT Lulus Kaedah Baru Bagi
Kelulusan Projek
23/03/2007 BERNAMA
MESYUARAT Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-57 DI Putajaya
menggariskan satu kaedah baru bagi meluluskan projek-projek untuk
pembangunan di sesuatu kawasan.
Dato’ Sri Najib Tun Razak berkata MNKT meluluskan kaedah baru itu untuk
pembangunan, sama ada dari pihak kerajaan atau swasta termasuk projek
perumahan dan pelaburan berimpak tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata kaedah
baru itu, yang akan diumumkan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad
Badawi pada 13 April, bertujuan menggantikan kaedah sekarang yang mengambil
masa terlalu lama untuk meluluskan pembangunan sesuatu projek.
"Berdasarkan kepada ketetapan Perdana Menteri, Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan telahpun mengkaji dengan mendalam satu sistem yang akan
digunapakai untuk memproses tanah-tanah untuk pembangunan termasuk untuk
projek perumahan.
"Mesyuarat hari ini meluluskan kaedah baru itu yang merupakan satu
pemindahan paradigma dalam memproses permohonan untuk projek-projek
pembangunan tanah," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.
Dato’ Sri Najib berkata konsep dan perincian kaedah baru, yang sudah
diterima dan diluluskan oleh semua kerajaan negeri, akan diterangkan oleh
Dato’ Seri Abdullah kelak.
"Mereka (kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan) perlu mengambil
beberapa tindakan prosedur sebelum Perdana Menteri mengumumkan sistem baru
ini.
"Sistem baru ini akan membantu menyegerakan pelaksanaan pelaburan berimpak
tinggi dan juga projek-projek yang berdasarkan kepada pembangunan bina dan
jual," kata Dato’ Sri Najib.
Mesyuarat MNKT itu turut meluluskan pelantikan Yang di-Pertua pihak berkuasa
tempatan sebagai Pesuruhjaya Bangunan di kawasan masing-masing.
"Ini adalah untuk membolehkan bangunan-bangunan diselenggarakan dengan baik.
Pada waktu sebelum hak milik strata diluluskan, bangunan-bangunan ini boleh
dikendalikan oleh Yang di-Pertua pihak berkuasa tempatan sebagai Pesuruhjaya
Bangunan," katanya. |