Tiga kawasan berisiko tinggi
tanah runtuh
24/03/2007 Utusan Malaysia Oleh Abdul Yazid Alias
SHAH ALAM 23 Mac – Kawasan lebuh raya, pusat peranginan dan perumahan di
tebing dan tanah tinggi di semenanjung terutama Gombak, Selangor; Sabah dan
Sarawak didapati berisiko tinggi terdedah kepada kejadian tanah runtuh
berikutan hujan lebat berterusan sepanjang minggu ini.
Pusat Penyelidikan Hakisan Tanah Negara (NASET), Universiti Teknologi Mara (UiTM)
mendapati, kawasan-kawasan terbabit paling berisiko berlaku kejadian itu
memandangkan struktur tanahnya yang lemah dan mudah terjejas.
Pengarahnya, Prof. Dr. Roslan Zainal Abidin berkata, keadaan itu disebabkan
air hujan yang mengalir ke dalam tanah akan bertakung dan menyebabkan
pergerakan dalaman terhadap tanah tersebut.
Katanya, hasil kajian yang dijalankan oleh NASET turut mengenal pasti tiga
kategori hakisan yang sering berlaku di kawasan terbabit akibat kesan aliran
air hujan di permukaan tanah di samping tidak mempunyai sistem pengaliran
yang baik.
“Berdasarkan hasil kajian yang dilakukan, kita telah kenal pasti tiga
kategori hakisan iaitu hakisan tebing, alur dan gegeluk disebabkan aliran
air hujan di kawasan terbabit.
“Aliran ini sebenarnya berpotensi menyebabkan kejadian tanah runtuh
sekiranya berlaku hujan lebat sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
“Fenomena-fenomena inilah antara penyebab utama kejadian tanah runtuh yang
sering berlaku di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari
ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas fenomena tanah runtuh yang
dijangka berlaku di negara ini ekoran perubahan cuaca yang tidak menentu.
Fenomena tersebut jelas dibuktikan ekoran kejadian tanah runtuh yang berlaku
di Presint 9, Putrajaya semalam yang berpunca daripada pergerakan tanah
bukit akibat hujan lebat yang berlaku hanya 10 meter dari pangsapuri
kakitangan awam.
Kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu menyebabkan lebih 1,200 penghuni
bertempiaran lari meninggalkan blok kediaman mereka untuk menyelamatkan diri.
Malah, sebanyak 25 buah kereta yang diletakkan di kawasan itu turut
tertimbus menyebabkan para pemilik kenderaan terbabit kerugian lebih RM1
juta.
Dalam perkembangan lain, Roslan turut meminta supaya pihak berkenaan memberi
tumpuan terhadap kawasan-kawasan berisiko itu bagi mengelakkan sebarang
kejadian yang tidak diingini.
Katanya, langkah seperti membina tembok penghadang, menyediakan saliran air
hujan serta memberi amaran awal kepada orang ramai dapat membantu
mengurangkan risiko kejadian seumpama itu.
“Dengan mengenal pasti kawasan ini, ia membolehkan kita melaksanakan langkah
awal bagi mengatasi masalah ini daripada bertambah buruk,” ujarnya. |