Inspektorat pantau PBT
14/04/2007 Utusan Malaysia Oleh Sadatul Mahiran Rosli
KUALA LUMPUR 14 April – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan
menubuhkan Pasukan Inspektorat bagi memantau pelaksanaan penambahbaikan
sistem pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam masa dua bulan dari
sekarang.
Menterinya, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, penubuhan pasukan itu telah
diluluskan oleh Kabinet baru-baru ini dan diumumkan oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.
Menurutnya, pihak kementerian akan mendapatkan kelulusan daripada Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan bagi permohonan jawatan
baru dan pegawai yang sesuai untuk pasukan itu.
“Sebagai permulaan, beberapa jawatan strategik Pasukan Inspektorat akan
dilantik dan kemudiannya barulah diperluaskan kepada jawatan lain,
bergantung kepada mekanisme yang ditetapkan untuk pemantauan dan mendapat
maklum balas.
“Pasukan Inspektorat dipertanggungjawabkan untuk membantu, memantau,
mendengar aduan dan membuat laporan mengenai pelaksanaan empat inisiatif
baru yang diperkenalkan dalam penambahbaikan sistem pentadbiran PBT.
“Segala laporan akan dikumpul dan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan
Majlis Negara Kerajaan Tempatan selepas dua bulan pelaksanaan penambahbaikan
tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perbincangan
dengan wakil PBT, Pejabat Tanah dan Galian, Persatuan Pembeli Rumah, pemaju
perumahan dan profesional, di sini hari ini.
Sesi perbincangan itu diadakan sempena Persidangan Mempertingkatkan Sistem
Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan yang diadakan selama dua hari dan berakhir
hari ini.
Semalam, kerajaan mengumumkan empat inisiatif bagi penambahbaikan sistem
pentadbiran PBT iaitu penubuhan pusat sehenti di setiap PBT bagi
mempercepatkan proses permohonan pembangunan hartanah dari mula hingga akhir
dengan kelulusan dibuat di satu tempat sahaja supaya lebih sistematik.
Inisiatif lain ialah Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi menggantikan
Sijil Layak Menduduki (CFO), penggubalan Akta Bangunan dan Harta Bersama
yang akan mewujudkan fungsi Pesuruhjaya Bangunan sebagai perantara antara
pemilik unit strata dengan pihak pengurusan bangunan dan pelancaran Konsep
Bina dan Jual.
Sementara itu, Ka Ting turut memberi jaminan bahawa pembinaan rumah kos
rendah tidak akan terjejas walaupun kewujudan konsep bina dan jual yang
membenarkan pemaju menukar syarat pembinaan rumah.
“Jika sistem sedia ada, pemaju disyaratkan membina rumah kos rendah tetapi
dengan konsep bina dan jual, pemaju boleh menggantikannya kepada pembinaan
rumah kos sederhana rendah.
“Sebenarnya, kerajaan telah mengarahkan agensi kerajaan seperti Jabatan
Perumahan Negara, Syarikat Perumahan Negara, Perbadanan Negeri dan agensi
kerajaan lain untuk terus membina rumah mampu milik atau mampu disewa bagi
memastikan jumlah rumah kos rendah mencukupi,” jelasnya.
Tambah beliau, konsep bina dan jual adalah pelengkap kepada keperluan
pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah bagi memenuhi permintaan
yang seimbang antara kedua-dua jenis rumah itu.
“Namun, jangan lupa, masih banyak lagi projek yang masih dan akan mengikuti
sistem sedia ada, kerana bukan semua pemaju akan menggunakan konsep bina dan
jual. Pemaju masih diwajibkan membina rumah kos rendah,” tegasnya. |