Melaka luluskan CCC ganti CF
06/04/2007 Utusan Malaysia Oleh MD. ZAN SAARI
MELAKA 5 April – Kerajaan negeri semalam meluluskan cadangan untuk
melaksanakan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi menggantikan Sijil
Kelayakan Menduduki (CF).
Turut diluluskan dalam mesyuarat Exco semalam ialah pelantikan Pesuruhjaya
Bangunan (COB) di bawah Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyelenggaraan dan
Pengurusan) 2007 (Akta 663).
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, melalui CCC
tanggungjawab untuk mengeluarkan CF akan berpindah kepada pihak profesional
berkuatkuasa 12 April ini.
‘‘Mereka mempunyai kuasa untuk meluluskan aspek teknikal tanpa perlu merujuk
kepada mana-mana jabatan kerajaan ,” kata beliau dalam satu kenyataan di
sini semalam.
Bagi pelantikan COB, beliau berkata, ia telah diwartakan dalam Akta Bangunan
dan Harta Bersama (Penyelengaraan dan Pengurusan) 2007 (Akta 663) pada 13
Februari lalu.
Katanya, dengan pelaksanaan akta tersebut, pengurusan rumah atau bangunan
bertingkat yang memerlukan hak milik strata dapat diuruskan dengan lebih
baik dan teratur.
Jelas beliau, perundangan sedia ada sebelum ini menetapkan bahawa pemaju
bertanggungjawab dalam mengurus penyelengaraan, sebelum hak milik strata
dikeluarkan serta diambil alih oleh Perbadanan Pengurusan (MC).
‘‘Justeru, terdapat pemaju yang gagal menguruskan penyelengaraan bangunan
dengan baik dan berlaku masalah penyelengaraan terutamanya di projek
perumahan kos rendah dan sederhana,” katanya. |