OSC dilaksana percepat
kelulusan projek
15/04/2007 Utusan Malaysia
SUBANG 14 April – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan
melaksanakan sistem Pusat Setempat (OSC) bagi melancarkan proses permohonan
dan kelulusan sesuatu projek pembangunan yang dikemukakan oleh pihak pemaju.
Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia,
Datuk Mohd. Fadzil Mohd. Khir berkata, OSC melibatkan sistem aliran kerja
yang terperinci dalam tempoh yang ditetapkan.
Menurutnya, ia antara lain dapat mempermudah dan menyegerakan pemberian
kelulusan oleh pihak-pihak yang berkaitan terhadap sesuatu projek
pembangunan yang dicadangkan oleh pihak pemaju.
‘‘Ia untuk pemaju yang memilih konsep Bina Kemudian Jual (BKJ), Projek Impak
Tinggi dan Pelaburan Asing serta projekprojek kerajaan supaya mendapat
kelulusan dalam tempoh empat bulan sahaja.
‘‘Begitu pun bagi pemaju yang memilih konsep Jual Kemudian Bina (JKB),
mereka juga diberi perhatian agar permohonan diluluskan dalam tempoh tidak
melebihi enam bulan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk
‘Penambahbaikan Sistem Penyampaian Prosedur Dan Proses Serta Pelaksanaan
Pusat Setempat Bagi Cadangan Pemajuan pada Persidangan Mempertingkatkan
Sistem Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan, di sini hari ini.
Mohd. Fadzil berkata, permohonan pecah sempadan dan tukar syarat tanah
misalnya dicadangkan tidak melebihi 25 hari, begitu juga untuk permohonan
penyerahan balik dan pemberi milikan semula.
‘‘Jika berlaku sebarang pindaan, proses diambil tidak melebihi 38 hari
sebelum dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat seterusnya,’’
katanya.
Menurutnya, intipati kepada penambahbaikan sistem penyampaian permohonan ini
adalah melalui bidang kuasa jawatankuasa 0SC.
‘‘Mereka mempunyai kuasa menimbang dan membuat keputusan bagi permohonan
kebenaran merancang, pelan bangunan, kelulusan perancangan, permohonan
serentak pecah sempadan dan tukar syarat,’’ katanya.
Beliau berkata, salah satu aspek penting dalam hala tuju baru ini,
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menubuhkan Pasukan
Pemantauan.
‘‘Antara peranannya ialah menerima maklum balas daripada pihak-pihak
terlibat dan orang awam dan membuat penilaian bagi tujuan penambahbaikan
sistem.
‘‘Ini termasuklah pelaksanaan dasar-dasar semasa kerajaan tempatan, memberi
bantuan khidmat nasihat dan teknikal serta lawatan ke PBT yang memerlukan
bantuan dan mendapatkan laporan maklum balas pelaksanaan OSC daripada PBT,
setiap tiga bulan,’’ katanya.
|