60 rumah retak
25/05/2007 Berita Harian Oleh Sharifah Salwa Syed Akil
Penghuni minta YB Puchong bantu atasi masalah
SERI KEMBANGAN: Penduduk di 60 unit rumah teres Villa Marissa di Saujana
Puchong, dekat sini, kini berada dalam kegelisahan berikutan kediaman yang
dihuni sejak tiga tahun lalu mengalami keretakan yang serius.
Tinjauan Sentral mendapati, kediaman yang terletak di Jalan SP6/2 itu
mengalami keretakan hampir keseluruhan rumah seperti di tempat meletak
kereta, dinding luar, ruang tamu, dinding dapur dan bilik mandi sekali gus
mengundang kegelisahan penghuninya.
Ada juga unit kediaman yang kosong, sama ada dibiarkan kosong oleh
pembelinya kerana tidak sanggup untuk terus tinggal di situ atau dilelong
kerana masalah berkenaan.
Masalah itu sudah lama dikesan iaitu sebelum penduduk menghuni kediaman
berkenaan pada 2003 tetapi pada waktu itu ia tidak begitu serius, hanya
selepas beberapa tahun ia semakin merebak hampir ke seluruh rumah.
Justeru, kediaman yang dibeli dengan harga RM187,000 seunit itu ternyata
gagal menjadi kediaman impian mereka serta meleburkan harapan untuk hidup
lebih selesa di kediaman baru.
Berikutan itu, penduduk sebulat suara mengemukakan aduan kepada Ahli
Parlimen Puchong, Lau Yeng Peng bagi mengatasi masalah berkenaan.
Janji Lau kepada penduduk untuk menjadi ‘orang tengah’ dengan membawa
masalah itu kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan
pemaju ternyata memberi sinar baru kepada penduduk terbabit.
Penduduk, Ang Hoon Ai, 47 berkata, mereka tidak tahu kepada siapa lagi untuk
mengadu nasib malang yang menimpa mereka dan berharap pertolongan daripada
Ahli Parlimen dapat menyelesaikan masalah berkenaan.
Beliau berkata, sebelum ini dia dan penduduk lain sudah kerap mengemukakan
aduan kepada pihak berkenaan namun, tiada sebarang khabar berita yang
menggembirakan mereka.
Ang berkata, 30 daripada 60 kediaman yang dikesan mengalami keretakan itu
pada awalnya dicadangkan pembinaannya di kawasan berhampiran tetapi terpaksa
dipindahkan ke lokasi sekarang oleh pemaju disebabkan masalah lokasi asal
tidak bersesuaian.
“Kami menandatangani perjanjian (S&P) pada 2000 tetapi pada 2001 kami
menandatangani perjanjian baru disebabkan pemindahan lokasi dan kami dapati
rumah berkenaan siap setahun kemudian.
“Saya tidak sangka kediaman ini siap hanya dalam tempoh setahun sedangkan
jika mengikut kebiasaannya ia akan mengambil masa hingga dua tahun untuk
disiapkan. Dalam kekeliruan itu, terselit perasaan gembira kerana dapat
menghuni kediaman sendiri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Namun, kegembiraan pembeli rumah teras Villa Marissa tidak berpanjangan
kerana sebaik saja mengambil kunci kediaman pada Oktober 2002, mereka
dikejutkan dengan
masalah keretakan yang berlaku di semua 60 unit berkenaan.
“Rasa gembira hilang begitu saja sebaliknya bertukar menjadi cerita sedih.
Aduan demi aduan dibuat tetapi tiada sebarang tindak balas daripada pihak
terbabit.
“Malangnya aduan yang dibuat kepada pemaju hanya dipandang sepi. Kami juga
mengajukan masalah ini kepada KPKT dan mereka merujuk masalah ini kepada
pemaju tetapi malangnya tiada sebarang tindak balas daripada pemaju” katanya.
Penduduk, Chan Sau Leng, berkata keretakan menyebabkan kediamannya tidak
lagi berpenghuni sejak dua bulan lalu malah dia terpaksa membayar kembali
deposit apabila penyewa bertindak keluar dari rumah berkenaan.
“Saya ada buat laporan kepada pemaju, mereka datang tampal keretakan tetapi
ia kembali berulang,” katanya.
Penduduk, Wong Kah Foo, 45, berkata dia agak bernasib baik jika dibandingkan
jirannya kerana kediaman miliknya tidak begitu serius mengalami keretakan.
“Jika dibandingkan dengan rumah jiran, rumah saya agak baik sikit. Memang
ada retak, tetapi tidak banyak. Walaupun begitu, saya masih bimbang kerana
tidak jauh dari kediaman kami ada projek yang sedang dijalankan.
“Baru-baru ini, mereka ada buat kerja-kerja memecah batu dan kami bimbang
keretakan ini akan menjadi lebih serius lagi pada masa depan sekiranya tiada
sebarang usaha dilakukan,” katanya. |