Keselamatan lebih terjamin
24/05/2007 Berita Harian Oleh Sharifah Salwa Syed Akil
Penghuni lega Pangsapuri Bunga Raya, Pandan Indah dipasang pagar besi bantu
kurangkan kes samun, pecah rumah
KUALA LUMPUR: Kebimbangan hampir 2,000 penghuni Pangsapuri Bunga Raya,
Pandan Indah dekat sini terhadap tahap keselamatan mereka akan berakhir
apabila pagar besi sepanjang 473 meter yang dipasang di sekeliling kawasan
perumahan berkenaan siap.
Sebelum ini penghuni kawasan terbabit berada dalam kegusaran berikutan
peningkatan kes jenayah ragut, samun dan pecah rumah yang semakin berleluasa
kebelakangan ini.
Setiausaha Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Bunga Raya, S Venkateswaran,
berkata pembinaan pagar besi yang menelan kos RM45,000 itu sudah bermula dan
akan siap sepenuhnya penghujung Jun depan.
Beliau berkata, pihaknya berharap pemasangan pagar di sekeliling perumahan
ini bukan saja dapat membantu mengurangkan kadar jenayah tetapi juga dapat
menjamin keselamatan penduduk.
“Kebimbangan penduduk berasas kerana sebelum ini berlaku beberapa kes
membabitkan penduduk yang diragut sehingga menyebabkan kecederaan serius
kepada mangsa.
“Kita berharap kejadian seperti ini tidak berulang dan langkah memasang
pagar di sekeliling kawasan perumahan ini adalah cara terbaik untuk
mengatasi masalah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Blok BA, Pangsapuri Bunga Raya
di Jln Pandan Indah 4/14C Pandan Indah di sini, baru-baru ini.
Sebelum itu, Venkateswaran menerima lawatan kira-kira sejam daripada Ahli
Dewan Undangan Negeri (Adun) Cempaka, Datuk Mad Aris Mad Yusof yang meninjau
perkembangan terkini projek pembinaan pagar besi itu
Mad Aris turut menghulurkan bantuan kewangan bernilai RM5,000 bagi
membolehkan projek membina pagar dilakukan segera dalam usaha mengatasi
masalah jenayah di kawasan berkenaan.
Antara kemudahan lain dibina termasuk penukaran pintu masuk ke kawasan yang
lebih selamat, pembinaan tempat menunggu bas yang lebih selesa dan
perkhidmatan kawalan keselamatan swasta membabitkan dua pengawal keselamatan.
“Penghuni perlu membayar RM20 sebagai bayaran tambahan bagi membolehkan kita
mengubah dua pengawal keselamatan untuk mengawal perumahan ini dari
dicerobohi orang luar.
“Projek ini adalah projek keselamatan penduduk dan bukannya untuk individu.
Jadi, saya berharap tiada sebarang masalah yang timbul kerana apa yang kita
lakukan sekarang adalah semata-mata untuk mengatasi masalah berkenaan,”
katanya.
Venkateswaran berkata, pembinaan pagar besi berkenaan pernah dirundingkan
dalam satu mesyuarat agung khas pada Ogos tahun lalu dan beberapa permohonan
diajukan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Katanya, pihaknya membuat permohonan rasmi kepada MPAJ pada Ogos tahun lalu
dan mendapat kelulusan pagar berkenaan pada April lalu. Kini ia sedang
dijalankan dan kita berharap tiada berlaku sebarang kelewatan mengenainya.
“Jumlah kos yang perlu dibayar adalah RM45,000 hasil sumbangan Adun dan Ahli
Parlimen Pandan, Datuk Ong Tee Keat selain kutipan yuran penyelenggaraan
penduduk,” katanya. |