Mahkamah tiada CF
26/05/2007 Berita Harian Oleh Norfatimah Ahmad
DBKL belum terima sebarang permohonan: Datuk Bandar
KUALA LUMPUR: Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bernilai RM270 juta yang
mengalami keretakan dinding dan kebocoran paip serta siling runtuh selepas
tiga minggu beroperasi, tidak mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF).
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab Hakim Borhan, berkata sehingga kini
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) belum menerima sebarang permohonan
berhubung CF kompleks di Jalan Duta itu.
“Sepatutnya tidak boleh masuk la... kita akan teliti perkara ini sebelum
mengambil tindakan susulan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Ab Hakim berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan
bagi memastikan kompleks berkenaan berada dalam keadaan baik.
Beliau diminta mengulas beberapa kerosakan di kompleks itu, terbaru
kebocoran paip di bilik penyelenggaraan bersebelahan tandas wanita yang
menyebabkan kafeteria di situ digenangi air sehingga paras buku lali, Rabu
lalu.
Pada hari pertama kompleks berkenaan dibuka 3 Mei lalu, beberapa bahagian
dinding di laluan pejalan kaki aras tiga berdekatan Mahkamah Majistret 4
pula dikesan mengalami rekahan.
Tiga hari sebelum itu, tiga keping siling asbestos di bilik Setiausaha Hakim
Mahkamah Tinggi Sivil, Datuk Abdul Malik Ishak, runtuh dipercayai berpunca
daripada kebocoran saluran perenjis air, yang juga sebahagian dari sistem
pencegah kebakaran kompleks berkenaan.
Berikutan itu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat kontraktor yang
bertanggungjawab membina kompleks berkenaan. Sepasukan pegawai BPR
dilaporkan dihantar ke pejabat kontraktor terbabit, Johawaki Sdn Bhd di Shah
Alam, kelmarin dan memeriksa pelan serta spesifikasi kompleks mahkamah itu.
BPR turut menghantar sepasukan unit forensik ke kompleks mahkamah untuk
mengkaji sebarang kerosakan dan masalah lain yang boleh menjejaskan struktur
bangunan itu.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Pencegahan dan Keselamatan
Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,
Sobri Basiran, berkata pihaknya juga tidak menerima permohonan pemeriksaan
fizikal bagi mendapatkan sokongan CF.
Beliau berkata, setakat ini hanya dua permohonan diterima membabitkan
kompleks berkenaan termasuk satu daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang
mengemukakan pelan pada 20 Mei 2003 dan diluluskan pada 25 September tahun
sama.
Pada 27 Oktober 2005 pula, katanya, perunding yang dilantik JKR mengemukakan
permohonan untuk proses sistem perlindungan kebombaan seperti perenjis air
dan diluluskan pada 15 November 2005.
“Kedua-dua permohonan itu perlu untuk mengesahkan setiap fakta dalam pelan
dan sistem mencegah kebakaran berfungsi dengan baik,” katanya. |