PBT seluruh negara diarah
wujud pusat sehenti
26/05/2007 Berita Harian Oleh Amirullah Andi Nur
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara diarah mewujudkan
pusat sehenti (OSC) di kawasan tadbiran masing-masing sebelum tarikh akhir
13 Jun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata PBT
tidak mempunyai alasan melengahkan arahan itu kerana tempoh dua bulan serta
tenaga kerja yang diberikan mencukupi bagi mereka melaksanakannya.
Beliau berkata, penubuhan pusat itu penting dalam membantu kerajaan
meningkatkan sistem penyampaian di samping mengurangkan kerenah birokrasi
dan mempercepatkan urusan pemprosesan dokumen projek berkaitan.
“Kita tidak boleh melengahkan satu dasar penting yang diumumkan secara
serius oleh Perdana Menteri dan turut diberi komitmen oleh Kabinet dan semua
Menteri Besar dan Ketua Menteri.
“Justeru saya tidak nampak kenapa PBT tidak boleh mengambil berat terhadap
satu dasar penting yang sudah dimulakan,” katanya selepas merasmikan Ekspo
Hartanah Malaysia (Mapex) di Mid Valley, di sini, semalam.
Program selama tiga hari, anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda)
itu disertai lebih 60 syarikat dari sekitar Lembah Klang, Putrajaya, Negeri
Sembilan dan Pahang.
Ong berkata, setakat ini, hanya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah menjadi
PBT pertama di negara ini mewujudkan konsep OSC pertengahan bulan ini dan
dijangka dituruti Perbadanan Putrajaya dalam tempoh terdekat ini susulan
jaminan pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman.
“Saya ada melawat Melaka Bandaraya Bersejarah dan dimaklumkan oleh Ketua
Menteri Melaka (Datuk Seri Mohd Ali Rustam), kerja pemprosesan dokumen
projek perumahan dapat diselesaikan dalam 60 hari, iaitu separuh dari tempoh
ditetapkan Perdana Menteri baru-baru ini.
“Ini satu perkembangan yang baik dan kita jangka lebih banyak PBT akan
mewujudkan OSC sebelum tarikh akhir,” katanya.
Mengenai 533 jawatan baru yang akan diwujudkan kementeriannya, Ong berkata,
semua penjawat terbabit akan ditempatkan di seluruh negara selepas menjalani
latihan.
“Mereka ini kebanyakan pegawai perancang bandar dan desa, dilatih khusus
oleh kementerian bagi menjayakan konsep OCS,” katanya.
Difahamkan daripada 533 jawatan itu, 127 ialah jawatan pegawai perancang
bandar dan desa gred J48, J44 dan J41, diikuti penolong pegawai perancang
bandar dan desa gred J29 (39); pembantu teknik (152); juruteknik perancang
bandar dan desa gred J17 (14); juruteknik gred J17 (49); dan selebihnya,
pembantu tadbir.
Mengenai isu kenaikan barang tertentu yang penting untuk sektor pembinaan
seperti besi, Ong berkata, pihaknya sentiasa mengkaji perkara itu selain
mendapatkan maklum balas pemaju. |