Sistem e-tanah diperluas
seluruh negara
25/05/2007 Berita Harian
SEREMBAN: Kerajaan memutuskan sistem e-tanah yang diperkenalkan bagi
mengatasi masalah kelewatan dan kerenah birokrasi dalam pengurusan
pentadbiran tanah di Pejabat Tanah Daerah (PTD), diperluaskan ke seluruh
negara.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid, berkata
Kabinet sudah meluluskan peruntukan RM840 juta bagi membangunkan sistem itu
secara berperingkat ke semua negeri dengan segera.
Beliau berkata, ia diputuskan selepas kejayaan projek perintis di Pulau
Pinang sejak tahun lalu membabitkan kira-kira RM60 juta dan kini hampir 80
peratus siap dibangunkan.
"Walaupun perbelanjaannya tinggi ia akan membawa hasil dan membantu kerajaan
negeri memperoleh pendapatan dengan cepat dan banyak,” katnya selepas
pertemuan dengan pegawai dan kakitangan jabatan serta agensi kementeriannya
di Wisma Negeri, di sini semalam.
E-tanah adalah sistem berasaskan penggunaan teknologi web yang boleh dicapai
di mana-mana saja. Antara ciri e-tanah ialah penggunaan teknologi maklumat
dan peralatan komputer serta perkhidmatan berkonsepkan mesra pengguna
melalui khidmat kaunter setempat.
Antara urusan pentadbiran tanah yang termasuk dalam sistem itu ialah
pelupusan, lesen menduduki sementara, pendaftaran hak milik, permohonan
pecah bahagian dan sempadan, gadaian, urusan hasil tanah serta pembahagian
pusaka kecil.
Azmi berkata, sistem itu diyakini dapat meningkatkan kecekapan, ketelusan
dan integriti sistem penyampaian menerusi bank data tanah kerana ia
dirangkaikan ke semua pejabat PTD di seluruh negara.
Katanya, pelaksanaan e-tanah juga membolehkan produktiviti kakitangan PTD
ditingkatkan, mempercepatkan proses membuat keputusan urusan tanah dan
mengurangkan penggunaan kertas.
"Apa yang lebih penting, sistem ini boleh mengurangkan gejala rasuah yang
banyak diperkatakan dan sering menjadi rungutan orang ramai mengenai
kelewatan serta kerenah birokrasi ketika mereka berurusan di PTD," katanya. |