Masalah siling bocor tak
diatasi
06/06/2007 Berita Harian
JOHOR BAHRU: Penghuni pangsapuri Idaman Senibong Permas Jaya di sini kecewa
sikap lepas tangan pengurusan bangunan dan pemaju dalam menyelesaikan
masalah kebocoran siling kediaman mereka.
Lebih menyedihkan, keadaan yang berlanjutan lebih setahun itu memaksa
penghuni pangsapuri terbabit menanggung sendiri perbelanjaan kos membaik
pulih kerosakan yang sepatutnya ditanggung pemaju.
Berdasarkan terma dan syarat perjanjian jual beli unit pangsapuri berkenaan,
sebarang kerosakan dalam 18 bulan selepas penyerahan kunci kepada pemilik
akan ditanggung pemaju.
Penghuni pangsapuri itu, V Vellu, 36, berkata keselesaan keluarganya sudah
lama terjejas apabila terpaksa berdepan masalah kebocoran siling sejak
menduduki rumah itu lebih setahun lalu.
"Berikutan kebocoran ini, ada ahli keluarga saya terpaksa tidur di ruang
tamu kerana khuatir siling akan roboh pada bila-bila masa saja selain air
memasuki bilik tidur apabila hujan.
"Apabila hujan, sebahagian ruang bilik tidur akan basah. Sedih mengenangkan
kediaman yang sepatutnya memberi keselesaan kepada kami walaupun tidak
sampai dua tahun, sudah kelihatan seperti kediaman buruk," katanya.
Beliau berkata, selain perabot yang baru dibeli rosak akibat basah, mereka
berhadapan risiko mengalami kejadian tidak diingini. Kami sekeluarga
bertambah bimbang apabila air yang menitis dari siling terkena suis elektrik.
|