Penduduk dakwa sistem
perparitan tidak sempurna
10/06/2007 Berita Harian
PUCHONG: Penduduk Taman Sri Hartamas, di sini yang dikejutkan dengan
kejadian tanah runtuh malam kelmarin mendakwa punca kejadian itu disebabkan
ketiadaan sistem saliran air dan perparitan yang sempurna.
Mereka yang masih tinggal di rumah masing-masing ketika ditemui mendakwa
kegagalan pemaju menyediakan saliran sesuai menyebabkan tapak tanah tembok
konkrit yang runtuh gagal bertahan daripada peningkatan arus air.
Penduduk, K Linggam Moorthy, 47, berkata semua air dari seluruh blok kawasan
perumahan mengalir ke kawasan tembok itu yang terletak berhampiran blok
rumah mereka menyebabkan tanahnya semakin lembut dan tidak kukuh.
“Sudah berkali-kali rayuan dikemukakan kepada pemaju supaya membina saliran
air yang mampu menampung air ketika hujan tetapi mereka (pemaju) langsung
tidak mengendahkannya.
“Akhirnya, kebimbangan mengenai keselamatan nyawa kami menjadi kenyataan
apabila tembok itu runtuh kerana tidak dapat menahan tekanan air yang tinggi,”
katanya.
Dalam kejadian jam 5.30 petang kelmarin, hujan lebat serta ribut petir sejak
awal petang menyebabkan tembok konkrit di taman perumahan itu runtuh dari
paras ketinggian 15 meter.
Tanah runtuh itu juga nyaris menghempap dua rumah penduduk kampung
berhampiran, bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Seorang penduduk, Leong Shwu Shin, 28, berkata kejadian buruk itu mungkin
dapat dielakkan jika pemaju bertindak segera terhadap aduan banjir penduduk
sebelum kejadian itu berlaku.
“Saya menghubungi pemaju sebanyak empat kali kerana tempat meletak kereta
rumah dinaiki air sehingga paras lutut, tetapi jawapan yang diterima amat
mengecewakan.
“Setiap kali dihubungi, pemaju memaklumkan akan menyelesaikannya sedikit
masa lagi, tetapi masih tidak sampai sehinggalah kami memberitahu tembok
konkrit itu runtuh,” katanya.
Leong berkata, sehingga kini sudah empat kali rumah mereka sudah dinaiki air
ketika hujan lebat dan mahu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil
tindakan ke atas pemaju terbabit atau mengarahkan pemaju membina saliran air
secepat mungkin.
Sementara itu, jurucakap MPSJ ketika dihubungi berkata, Institut Kerja Raya
Malaysia (Ikram) akan membuat pemeriksaan terhadap status tanah di kawasan
hari ini.
“Selepas proses itu, kerja menguatkan semula cerun bukit ini akan dilakukan
secepat mungkin oleh kontraktor,” katanya. |