Rumah terbengkalai lebih tujuh
tahun siap
14/06/2007 Berita Harian Oleh Wan Jailani Razak
Pembeli kediaman di Taman Pinggiran Subang lega SPNB baik pulih pangsapuri
bermasalah
SHAH ALAM: Pembeli rumah di Bandar Pinggiran Subang, Seksyen U5, di sini
akhirnya menarik nafas lega sebaik menerima kunci rumah idaman baru-baru ini
selepas menunggu lebih tujuh tahun.
Projek perumahan yang terbengkalai sejak 2001 itu dipulihkan kerajaan
menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang membelanjakan lebih
RM21 juta membaik pulih 600 unit rumah pangsapuri kos sederhana lima tingkat
di kawasan seluas 3.6 hektar.
Malah, bagi memenuhi tanggungjawab sosial, SPNB juga menyumbangkan sebuah
surau kepada penduduk yang akan dibina di tapak surau sedia ada.
Pembeli pula hanya perlu membayar harga rumah seperti yang dipersetujui
dalam perjanjian jual beli asal tanpa perlu menanggung kos bayaran tambahan
kerana ditanggung kerajaan.
Pembeli Yahya Zain, ketika ditemui berkata, beliau membeli rumah itu pada
harga lebih RM96,000, awal 1997 dan sejak itu terpaksa membayar kepada bank
lebih RM400 sebulan walaupun rumah tidak siap.
Kecewa dengan sikap pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan seperti
dijanjikan, beliau mengadu masalah itu kepada wakil rakyat bagi membantu
mencari penyelesaian.
Beliau berterima kasih kepada SPNB, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad
Khir Toyo dan Pengerusi Jawatankuasa tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan
dan Setinggan negeri, Datuk Mohd Mokhtar Ahmad Dahalan yang mengambil
inisiatif menyelesaikan masalah itu.
Seorang lagi pembeli, Azman Abdul Aziz, berkata beliau masih tidak berpuas
hati terhadap sikap pemaju yang tidak bertanggungjawab kerana menyebabkan
beliau terpaksa menunggu lebih tujuh tahun untuk mendapatkan rumah.
Bagi kerajaan Selangor, kerjasama dengan SPNB diteruskan dengan cuba
mempercepatkan usaha pemulihan projek perumahan yang bermasalah dan
terbengkalai.
Dr Mohamad Khir berkata, menangani projek terbengkalai lebih mencabar
berbanding membina projek baru kerana pelbagai masalah terpaksa diselesaikan
seperti perundangan, mengenal pasti semula dokumen berkaitan, mengenal pasti
dan mengesan semula penama atau pemilik.
Katanya, pelbagai masalah lain terpaksa dihadapi dalam menangani projek
perumahan terbengkalai seperti bangunan retak dan tiada kemudahan, namun
kerajaan tetap prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat.
Pengerusi SPNB, Datuk Azian Osman ketika menerangkan proses siap projek itu
pula berkata, ia adalah projek terbengkalai kelima di negeri ini yang
dikendalikan sepenuhnya oleh SPNB menerusi bantuan kewangan kerajaan Pusat.
Katanya, SPNB diberikan tanggungjawab untuk mengambil alih dan membaik pulih
projek perumahan terbengkalai Bandar Pinggiran Subang itu pada 2003.
"Projek perumahan ini sebelum itu dijadual siap pada 2000 selepas
dilancarkan pada 1997 tetapi terbengkalai ketika kira-kira 80 peratus siap
disebabkan masalah kewangan dan kurang kepakaran daripada segi pengurusan
yang dihadapi pemaju.
"Majlis Penerangan Dan Akujanji dengan pembeli rumah akhirnya diadakan di
Kompleks Taman Seni Islam Shah Alam pada Disember 2004 sebelum kami menerima
kebenaran memulakan kerja pembinaan pada 2005," katanya.
Azian berkata, SPNB secara keseluruhan dipertanggungjawabkan untuk membaik
pulih 58,245 unit rumah bagi 189 projek di seluruh negara yang 19,895 unit
rumah sudah dibaik pulih sepenuhnya.
Ketika ini, katanya, SPNB sedang membaik pulih lima projek terbengkalai
membabitkan 2,874 unit pada kos baik pulih RM117.3 juta. |