Semua PBT sudah ada pusat
sehenti
14/06/2007 Berita Harian
KUALA LUMPUR: Semua 92 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), di seluruh negara
sudah menubuhkan pusat sehenti (OSC) di kawasan pentadbiran masing-masing
sehingga tarikh akhir yang ditetapkan kerajaan, semalam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata OSC
adalah antara langkah yang diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada
13 April lalu bagi menambah baik pentadbiran PBT dan mengurangkan birokrasi,
sekali gus meningkatkan sistem penyampaian.
Beliau berkata, OSC akan mempercepatkan proses permohonan pembangunan
hartanah dari mula hingga akhir dengan kelulusan dibuat secara sistematik di
satu tempat saja.
“Dengan adanya OSC, setiap permohonan pembangunan hartanah akan diproses dan
diluluskan dalam tempoh empat hingga enam bulan saja,” katanya di sini,
semalam.
Proses kelulusan untuk projek pembangunan yang sama sebelum ini mengambil
masa antara tiga hingga lima tahun untuk diluluskan.
Ka Ting berkata, semua OSC yang ditubuhkan berkenaan dikawal selia kerajaan
negeri dan kepimpinan negeri sudah memberi jaminan akan memastikan pusat
sehenti ditubuhkan mengikut prinsip dan garis panduan yang ditetapkan
kementerian.
Katanya, bagi memastikan pelaksanaan OSC berjalan lancar, Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan pengisian 533 jawatan di OSC, termasuk
jawatan Pegawai Perancang dan Pembangunan Bandar yang mengetuai unit OSC di
PBT.
“Setakat ini, 310 pegawai berkenaan melapor diri dan kita jangka menjelang
bulan depan, semua pegawai berbuat demikian,” katanya.
Mengulas lanjut, Ong berkata, sejak pengumuman mengenai OSC dibuat Perdana
Menteri dua bulan lalu, PBT sudah menerima 2,055 permohonan projek
pembangunan hartanah sementara menerusi konsep lama ada 1,075.
|