SPNB siap 19,895 rumah
terbengkalai
10/06/2007 Berita Harian
SHAH ALAM: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sehingga kini menyiapkan
19,895 unit rumah terbengkalai di seluruh negara, kata pengerusinya, Datuk
Azian Osman.
Beliau berkata, pihaknya yang bertanggungjawab mengambil alih projek
perumahan terbengkalai juga dalam proses membaik pulih lima projek perumahan
membabitkan 2,874 unit rumah dengan kos pembinaan RM117.3 juta.
Katanya, pelaksanaan 17 projek lagi membabitkan pembinaan 3,566 unit rumah
dimulakan tidak lama lagi.
"Buat masa ini, SPNB diarahkan membaik pulih 58,245 unit rumah membabitkan
189 projek," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Pemulihan
Projek Perumahan Terbengkalai Bandar Pinggiran Subang yang dirasmikan
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, di sini, semalam.
Ia projek perumahan terbengkalai kelima di negeri ini yang dikendalikan
sepenuhnya oleh SPNB menerusi bantuan kewangan Kerajaan Pusat bagi membaik
pulih 600 unit rumah pangsapuri kos sederhana membabitkan lebih RM21 juta.
Azian berkata, SPNB juga sehingga kini sudah membina 2,738 unit rumah mesra
rakyat dan 2,220 lagi unit rumah sama yang dalam pembinaan termasuk di Sabah
dan Sarawak.
Di Selangor, katanya, SPNB membina 216 unit rumah menerusi skim rumah mesra
rakyat itu dan kini sedang membina 68 unit rumah.
Sementara itu, Dr Mohamad Khir berkata, ada 97 projek perumahan terbengkalai
di negeri ini dan daripada jumlah itu, 18 projek sudah dibantu.
"Kita mengharapkan bantuan Kementerian Kewangan untuk bantu kita. Kerajaan
negeri juga terpaksa mengurangkan kos infrastruktur bagi memastikan pemilik
mendapat rumah yang baik.
"Pada masa sama, kita akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana projek
disiapkan pemaju tidak mengikut standard," katanya.
|