Perjanjian jual beli perlu
guna Bahasa Malaysia
15/09/2007 Utusan Malaysia Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
KUALA LUMPUR 14 Sept. – Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) mahu
perjanjian jual beli (S&P) diubah daripada bahasa Inggeris kepada Bahasa
Malaysia kerana majoriti pembeli rumah di negara ini tidak faham hak mereka
kerana teks perjanjian itu terlalu rumit dan teknikal mengikut bahasa
perundangan.
Pengerusi TTPR, Hamdan Indah berkata, bahasa Inggeris yang digunakan dalam
format perjanjian S&P sekarang menyukarkan pembeli memahami perjanjian itu
sehingga mereka berisiko ditipu sekaligus menanggung kerugian besar.
Beliau percaya penggunaan bahasa Inggeris menyukarkan orang ramai untuk
memahami isi kandungan perjanjian tersebut.
‘‘Saya sendiri yang mempunyai pengetahuan dalam bidang undang-undang
terpaksa membaca perjanjian itu beberapa kali untuk memahami isi
kandungannya, apatah lagi orang biasa,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di
sini, hari ini.
Hamdan berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan golongan pembeli
rumah yang tidak faham isi kandungan perjanjian jual beli yang
ditandatangani selepas mereka membeli rumah kerana ia ditulis dalam bahasa
Inggeris.
Menurutnya, apa yang berlaku itu tidak adil bagi pihak pembeli dan mereka
juga berpotensi untuk ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
‘‘Mereka menandatangani satu perjanjian yang mereka sendiri tidak faham isi
kandungannya dan kesan perjanjian itu dari segi undang-undang pada masa
hadapan.
‘‘Kebiasaannya peguam hanya menunjukkan kepada pembeli ruang dalam dokumen
perjanjian untuk ditandatangani dan bukan menerangkan isi kandungan
perjanjian. Inilah yang berlaku selama ini,’’ jelasnya.
Kata Hamdan, terdapat pembeli rumah yang tidak tahu hak serta liabiliti
mereka selepas menandatangani perjanjian tersebut.
Antaranya, kata beliau, ialah hak pembeli mendapat ganti rugi sekiranya
berlaku kes rumah lewat serah oleh pihak pemaju.
Beliau berkata, masalah seperti ini sering diadukan kepada pihak tribunal.
‘‘Semua ini ada dalam perjanjian. Inilah masalahnya apabila perjanjian
ditulis dalam bahasa Inggeris dengan gaya bahasa undang-undang,’’ ujarnya.
Beliau yakin jika perjanjian itu ditulis dalam bahasa Malaysia, pembeli
boleh memahami isi kandungan perjanjian itu dengan baik.
‘‘Setiap pembeli harus diberi hak yang sewajarnya untuk meneliti dan
seterusnya memahami isi kandungan perjanjian kerana mereka mengeluarkan wang
yang banyak untuk membeli rumah.
‘‘Oleh itu pembeli harus diberi hak untuk mengetahui satu persatu perkara
yang dicatatkan dalam perjanjian tersebut,’’ katanya.
Selain ditulis dalam Bahasa Malaysia, Hamdan turut mencadangkan perjanjian
itu dibuat ringkasan bagi memudahkan rujukan dibuat.
Sementara itu, Timbalan Presiden Per- satuan Pemaju Hartanah dan Perumahan
Malaysia (REHDA), Datuk Michael Yam berkata, pembeli berhak meminta pihak
peguam untuk menyediakan dokumen perjanjian dalam Bahasa Malaysia.
‘‘Ini merupakan hak pembeli. Hak ini tidak boleh dinafikan oleh mana-mana
pihak. Sekiranya pembeli mahu dokumen ditulis dalam Bahasa Malaysia, saya
tidak fikir ia tidak boleh dibuat.
‘‘Selain itu, peguam juga perlu menerangkan satu persatu isi kandungan
perjanjian sebelum pembeli menurunkan tandatangan. Ini juga perlu dilakukan
bagi mengelakkan timbul sebarang masalah pada masa akan datang,’’ tambahnya. |